Jalan Pudu bakal sasaran Imigresen?

Operasi besar-besaran bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Jalan Pudu, di sini dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Menerusi tinjauan, kawasan itu kini dikawal ketat anggota pasukan keselamatan selain dipagar kawat duri sejak semalam.

Bekas Pengarah Akademi Imigresen Malaysia, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata jangkaan itu berdasarkan strategi terkini Jabatan Imigresen (Imigresen) yang menyasarkan kawasan kawat duri sebagai lokasi utama untuk menyelesaikan isu lambakan PATI di negara ini.

"Kita lihat trend Imigresen kebelakangan ini menyerbu kawasan tumpuan warga asing yang dikawal ketat dan dipasang kawat duri.

"Sebelum ini, mereka serbu Jalan Masjid India dan Pasar Borong Kuala Lumpur yang turut dikenakan tindakan sama.

"Saya tidak menolak kemungkinan perkara sama akan berlaku di Jalan Pudu dalam masa terdekat, malah mungkin Imigresen akan buat operasi untuk kali kedua di Masjid India dan Pasar Borong Kuala Lumpur bagi memastikan kawasan itu benar-benar bebas daripada kehadiran PATI," katanya pada BH, hari ini.
Anggota tentera melakukan kawalan di Jalan Landak yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Pentadbiran (PKPP). - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Shahul Hamid yang juga penganalisis jenayah berkata, operasi menangkap PATI itu yang dibantu polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membolehkan Imigresen menahan ribuan warga asing baru-baru ini.

"Sudah tentu dengan kerjasama pihak berkuasa lain, Imigresen dapat menahan lebih ramai PATI berbanding sebelum ini.

"Malah, dengan kawasan diletakkan kawat berduri, PATI sudah tentu tidak dapat meloloskan diri.

"Imigresen sebelum ini ada masalah kekurangan anggota ketika menjalankan operasi, saya harap selepas ini mungkin pihak berkuasa lain terutama ATM boleh terus membantu Imigresen bagi operasi buru PATI pada masa akan datang," katanya.

Isnin lalu, seramai 1,368 PATI ditahan Imigresen dalam serbuan di sekitar kawasan di Pasar Borong Kuala Lumpur, manakala 1 Mei lalu, 586 PATI ditahan di Plaza City One, Malayan Mansion dan kawasan Masjid India, di sini.